PENGENALAN
Dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak, kebanyakan ibubapa tidak berkira kerana yang penting anak-anak mendapat pembelajaran yang sempurna. Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini anak-anak semestinya dipersiapkan dengan "IQ" (Intelligent Quality) dan "EQ" (Emotional Quality) yang tinggi. Dari itu keputusan menghantar anak anda mendapatkan pendidikan di Tadika Anakku adalah merupakan langkah yang paling bijak yang telah anda lakukan.
Tadika Anakku menyediakan kedua-dua kualiti yang diperlukan oleh anak-anak dengan menambah dengan satu lagi kualiti yang tidak ada pada tadika bukan islam iaitu "Spiritual Quality".
Dalam membentuk "Intelligent Quality", tadika ini menyediakan bidang akademik yang meliputi pelbagai mata pembelajaran asas seperti Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Jawi dan Awalan Sains. Anak-anak akan didedahkan juga dengan pengajaran Kreatif, Riadhah, Nasyid dan Lawatan bagi melahirkan "Emotional Quality" mereka dalam masa mereka melakukan aktiviti ini bersama teman yang lain. Ini amat penting untuk anak-anak pra-sekolah bagi persediaan ke alam persekolahan yang sebenar.
"Spiritual Quality" adalah elemen terpenting untuk membentuk sahsiah dan peribadi mulia anak-anak. Dengan alunan zikir harian, hafazan surah, maklumat sirah-sirah Nabi dan praktikal solat akan menjuruskan anak-anak kepada kelembutan hati dan kekebalan untuk tidak terjerumus melakukan maksiat. Ini sebenarnya yang diimpikan oleh setiap ibubapa iaitu menginginkan anak-anak yang soleh dan solehah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat.
Apa yang telah disebutkan di atas merupakan satu garis panduan untuk membina minda, emosi dan jiwa anak-anak dan yang paling penting adalah gabungan jitu dari pihak tadika dan ibubapa serta keluarga anak-anak. Marilah kita berganding bahu untuk membina setiap insan kecil di tadika ini agar menjadi manusia bertaqwa, berakhlak mulia, bijak dan ikhlas serta berwibawa ke arah keperluan kepimpinan masa hadapan. Tanpa kerjasama yang erat di antara ibubapa dan tadika, hasrat ini mungkin tidak akan tercapai.
Terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada pihak tadika untuk mendidik anak-anak tuan/puan dan sesungguhnya ini merupakan amanah yang amat berat bagi semua warga kerja Tadika Anakku. Doakanlah kami agar dapat mengharungi dugaan dan cabaran yang mendatang bagi mendidik anak-anak tuan/puan menjadi seorang yang berjaya di dunia dan di akhirat, amin.